Perang Dunia I Peperangan_anti-kapal_selam

Semasa Perang Dunia I, kapal selam muncul sebagai satu ancaman baru kepada tentera-tentera laut yang terlibat. Sebelumnya, penggunaan kapal selam terhad kepada operasi berdekatan pantai dan hanya di dalam keadaan cuaca baik. Kapal selam pula bersaiz kecil dan tidak mempunyai keupayaan belayar dan beroperasi untuk jangka masa yang lama.

Kapal Selam Sebagai Senjata Bahaya

Keadaan ini berubah setelah sistem diesel elektrik mula digunakan untuk menujah kapal selam. Diesel lebih selamat digunakan dan tidak mudah terbakar, berbanding dengan petrol dan lain-lain bahan api. Keadaan ini membolehkan beberapa tentera laut untuk membina kapal selam yang lebih besar dengan keupayaan belayar dan beroperasi untuk jangka masa yang lebih lama di laut lepas.

Sungguhpun demikian, kapal selam biasanya menggunakan enjin diesel dan belayar di atas permukaan laut sambil mengecas baterinya. Kapal selam hanya menyelam apabila hendak menyerang sasaran musuh ataupun apabila mengesan kehadiran kapal-kapal perang musuh di kawasan berdekatan.

Kemunculan Teknologi dan Taktik Baru

Untuk menangani ancaman baru ini, kapal-kapal kecil yang dilengkapi dengan meriam digunakan. Oleh kerana peperangan anti-kapal selam satu bidang baru ketika itu, mereka yang melaksanakan peperangan anti-kapal selam bergantung kepada nasib untuk mencari dan memusnahkan kapal selam.

Pendekatan pertama untuk mempertahankan kapal daripada serangan kapal selam adalah menggunakan jaring dawai rangkai seperti dawai pagar yang digantungkan di tepi kapal-kapal perang sebagai perlindungan daripada serangan torpedo. Jaring sepertinya juga direntangkan di laluan masuk pelabuhan ataupun pangkalan tentera laut untuk menghalang kapal selam daripada memasuki pelabuhan ataupun untuk menghalang torpedo dilepaskan ke arah kapal-kapal di pelabuhan.

Penggunaan hidrofon, sejenis mikrofon untuk kegunaan di dalam air membolehkan kapal perang mendengar bunyi yang dibuat oleh kapal-kapal selam. Pada 23 April 1916, kapal selam UC-3 telah ditenggelamkan dengan bantuan pengesanan menggunakan alat hidrofon. Serangan ini juga pertama kalinya menggunakan bom laut dalam (depth charge) dengan jayanya.

Pada awal tahun 1917, Tentera Laut Diraja British selesai membangunkan sistem gelung penunjuk (indicator loop) . Sistem ini menggunakan kabel-kabel panjang yang dipasangkan di dasar laut dan boleh mengesan perubahan dalam medan magnet bumi apabila sesebuah kapal selam melalui kawasan berdekatan. Sistem ini digunakan bersekali dengan periuk api yang dikawal daripada darat, peletupannya dikawal oleh stesen darat apabila mengesan perubahan di galvanometer menandakan perubahan dalam medan magnet (ini menunjukkan kemungkinan ada kehadiran kapal selam di kawasan tersebut.)Pesawat laut dan belon kapal udara (airship) juga digunakan untuk kerja-kerja meronda kawasan laluan kapal selam dan kawasan laluan konvoi.

Pada 15 September 1916 Leftenan Zelezny dari pasukan udara Austria yang menggunakan pesawat laut jenis Lohner berjaya menenggelamkan kapal selam British B-10. Tidak berapa lama kemudian, Foucault, sebuah kapal selam Perancis ditenggelamkan oleh dua buah pesawat laut Lohner yang juga diketuai oleh Leftenan Zelezny.

Sonar dengan hidrofon yang diturunkan ke dalam laut di bawah paras permukaan muncul kegunaannya pada pengakhir Perang Dunia I tetapi pembangunannya ditinggalkan tidak ;lama selepas tamat perang. [1]